Sunday, September 26, 2010

Kalau dahi tidak memcecah sejadah di dunia

Kalau Dahi tidak Mencecah Sejadah Didunia...

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan
Tutuplah rambutmu sebelum rambutmu ditutupkan dengan kain kafan yang serba putih
 
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih
Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru ku menyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar Solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan mamahan ulat

Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna lagi di alam baqa'

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan untuk yang pergi

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Kerana ketika itu istighfar tidak menyelamatkan

Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan
 
Justeru bila Dia menyeru
Sambutlah seruan-Nya Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya
setitis air mani yang tidak bererti

Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patuk itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat

Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan

Pada hari itu tiada berguna
Harta, tahta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia

Sudah Bersediakah Anda Ketika Dipanggil Pulang Oleh Allah SWT???
"Salinglah kita berpesan-pesan  kearah kebaikkan"

2 comments:

  1. assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh..
    sajak ni sangat menyentuh..karya akak ke?
    saya mohon share di blog boleh?

    ReplyDelete
  2. waalaikumussalam.. Bukan, ia bukan karya akak.. Tapi akak gabungkan 2 sajak yg akak baca dr Iluvislam.. Silakan, copylah, moga ia membawa kebaikan.. InsyaAllah...

    ReplyDelete