Friday, July 27, 2012

Permohonan


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh



“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.” (Surah al-A’raaf, ayat 55-56)
Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, pengaruh doa itu amat hebat sehingga mampu mengubah takdir Allah dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.
“Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Seorang sahabat iaitu Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah SAW memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul.
Menurut Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai Sa’ad, makanlah makanan yang baik (lagi halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan dikabulkan doanya selama 40 hari. Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah layak untuknya.” (Hadis riwayat Thabrani)
Permohonan doa hendaklah mematuhi adab tertentu antaranya suci daripada hadas, menghadap kiblat dan dimulai dengan bacaan al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat. Hadis Qudsi disampaikan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang berpuasa; kedua, doa pemerintah adil; dan ketiga, doa orang dizalimi, di mana doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah mustajab. Apalagi jika mereka itu orang yang lemah, tiada kuasa dan orang tua. Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat  pertolongan Allah datang membantu.
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengerjakan amal salih maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Nya.” (Surah Fussilat, ayat 46)
 Sumber: KLIK SINI

No comments:

Post a Comment